Saturday, April 9, 2011

Ya Allah , i'm speechless !

Assalamualaikum,

(Entri ini ditujukan khusus kepada para pelajar yang menerima keputusan SPM 2010 baru-baru, serta umum kepada semua pembaca Leokid’s Life.)

Keputusan peperiksaan SPM 2010 baru sahaja diumumkan minggu ini. Pasti pelbagai jenis reaksi yang dialami oleh para pelajar calon SPM 2010 mengenai keputusan peperiksaan masing-masing. Ada yang biasa sahaja kerana sudah dijangka, ada yang terjelepuk menepuk dahi menahan kecewa.

Walau apa pun keputusannya, ingin saya kongsikan sepotong ayat alQuran yang cukup bermakna pada diri saya saat pasca SPM 5 tahun yang lalu:

Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

(Al Baqarah 2:216)


Mengapa ayat ini begitu signifikan kepada saya? Kerana sejak dahulu ketika zaman sekolah menengah, saya cukup bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan, khususnya bidang kejuruteraan petroleum dan gas.

(“Pelan” masa depan yang saya tampal di meja saya ketika Tingkatan Lima)

Keinginan saya tersebut begitu membara. Kerja kursus subjek Kerjaya saya, saya memilih topik berkenaan kejuruteraan. Di meja saya, saya letakkan plan masa depan melibatkan bidang kerjaya. Saya begitu minat dan “gila” dengan subjek Matematik Tambahan dan Fizik, kerana memang saya suka subjek-subjek tersebut!

(Kerja kursus Kerjaya saya bertajuk “Petroleum Engineer”. Klik untuk muat turun)

Tetapi Allah dah sebut, Allah Maha Mengetahui sedangkan saya tidak mengetahui. Dalam banyak-banyak permohonan biasiswa yang saya mohon, hanya biasiswa perubatan sahaja yang ditawarkan kepada saya. Saya tidaklah “tidak minat” terhadap bidang perubatan, jauh sekali benci. Cuma, bidang perubatan, adalah langsung tidak pernah terlintas dalam fikiran saya ketika itu.
Kekecewaan gagal menempatkan diri dalam bidang kejuruteraan, sirna dengan sinar ayat 2:216 tersebut. Kini, 5 tahun setelah peristiwa tersebut berlaku, saya katakan bahawa bidang perubatan adalah bidang yang cukup menarik dan membawa seribu satu kesyukuran kerana terpilih ke bidang ini. SubhanAllah, begitu cantik carakerja Allah yang penuh dengan hikmah dan perancanganNya.



Pasca SPM 2010

Untuk adik-adik SPM 2010, tidak kiralah jika keputusan yang anda perolehi adalah cemerlang dalam jangkaan, cemerlang diluar jangkaan, kurang memuaskan diluar jangkaan, atau memang dah expect pun kurang memuaskan (erk), saya kira ayat 2:216 itu tetaplah relevan untuk anda.

Mungkin keputusan yang cemerlang itu, sesuatu yang anda cukup bangga dan seronok (apa eh pepatah English yang selalu digunakan itu – flying with colours? cloud nine?). Namun kita tidak menjangkakan apa plan yang Allah hamparkan untuk kita. Mungkin dengan keputusan yang cemerlang itu, anda terpilih ke program International Baccalaurate (IB) yang terkenal dengan gila-gila susahnya itu? Siapa tahu, setahun dari sekarang, anda sedang merintih memohon kekuatan daripada Allah untuk meneruskan perjuangan anda di universiti luar negara kerana rindukan ibu dan ayah dan keluarga? Siapa tahu, dengan keputusan yang cemerlang tersebut, anda melanjutkan pelajaran ke luar negara, dan menangis tatkala tidak dapat pulang menziarahi jenazah ahli keluarga kesayangan?

Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

Mungkin juga, dengan keputusan kurang memuaskan yang anda perolehi, membuatkan anda benar-benar pulun di matrikulasi seterusnya mencatatkan pointer 4 sepanjang semester dan memasuki mana-mana kursus pengajian pilihan anda di universiti kelak. Mungkin juga, dengan keputusan kurang memuaskan tersebut, anda menamatkan pengajian awal dan bekerja, dalam masa yang sama dapat berbakti sepuas-puasnya kepada ibubapa?

Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

Walau apa pun keputusan yang kita perolehi, kita tetap akan menempuh jalan yang sama. Iaitu jalan yang penuh dengan ujian. Sama ada kepada pelajar paling cemerlang di Malaysia, mahupun kepada pelajar yang gagal SPM dsb – Kita sentiasa layak diuji!

Justeru janganlah kita membanding-bandingkan ujian sesama kita. Kita tidak tahu bagaimana bentuk ujian yang Allah berikan kepada kita. Peganglah erat-erat kepada isi dalam ayat 2:216 tersebut, bahawa kita sentiasa tidak tahu apa yang terbaik untuk diri kita, maka tetaplah bersyukur dan bertawakal kepada Allah.

Temuduga Biasiswa 2011

Seperti biasa, pasca keputusan SPM akan mengundang ramai calon-calon SPM 2010 ke blog saya untuk mendapatkan panduan bagi memohon biasiswa melanjutkan pengajian.

Sejak empat tahun yang lalu, entri di blog ini yang bertajuk “Interview” telah banyak menolong para calon lepasan SPM menjalani temuduga biasiswa mereka. Dan sepanjang empat tahun itulah, entri tersebut menjadi entri “penghulu” didalam statistik pelawat di blog ini.

(Entri “Interview” antara entri tertinggi Leokid’s Life, menyumbang 4% dari keseluruhan trafik disini)

Keberkesanannya? Alhamdulillah, dari respons yang saya terima, banyak manfaat yang diperolehi oleh para calon SPM daripada entri Interview tersebut. Terdapat para pembaca yang LULUS dalam temuduga mereka, menghubungi saya kembali untuk mengucapkan terima kasih kepada entri tersebut. Tidak kurang juga, terdapat pelajar-pelajar yang saya kenal melalui entri tersebut, yang sudahpun selamat terbang ke luar negara melanjutkan pengajian, masih berhubung bertukar khabar dengan saya.

Kini, sudah empat tahun usia entri tersebut yang tidak saya kemaskini, kerana saya sendiri tidak pasti mengenai format temuduga terbaru oleh para penaja di Malaysia. Ada yang saya dengar, temuduga sekarang hampir semuanya ada melibatkan komponen temuduga berkumpulan (group interview). Zaman saya, saya tidak pun menghadiri group interview! Ada yang saya dengar, kena lulus ujian personaliti dan psikologi terlebih dahulu. Ada sesi temuduga yang dijalankan berhari-hari, sehingga dijadikan “kem temuduga”!

Sedangkan saya pun baru tahu, rupanya gred SPM sudah berubah! Ada A+, A dan A- pula ya?

Semua ini menjadi petanda bahawa para pelajar kita semakin bijak, intelektual dan pandai. Untuk memilih yang terbaik dalam kalangan yang baik ini, seperti mencari permata di celahan taburan kaca.

Justeru itu kepada adik-adik yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM baru-baru ini. Tidak perlulah anda dibanggakan dengan keputusan peperiksaan tersebut. Semuanya itu kini sudah menjadi kebiasaan, menjadi satu standard dalam masyarakat.

Sebaliknya, apa yang paling penting, adalah penghayatan ilmu itu sendiri. Tidak guna mendapat straight A’s sekiranya sasaran anda untuk mencatat rekod peribadi atau untuk SPM semata-mata, sedangkan ilmu yang sama itulah yang benar-benar akan berguna dalam bidang pekerjaan kelak.

Begitu juga, nilai dan kualiti diri itu yang menjadi pembeza antara dua orang yang mendapat straight A’s. Sahsiah dan budi pekerti yang baik, selain tentulah, pegangan agama yang kuat menjadi nilai core yang membezakan antara dua calon yang cemerlang.

Tidak kiralah temuduga biasiswa 5 tahun lepas, sekarang, atau 5 tahun akan datang, ciri-ciri itulah yang menjadi nilai yang membezakan para calon.

Saya percaya, jika saya berada di tempat penaja, calon-calon sebeginilah yang akan saya pilih untuk mendapat biasiswa. Tonjolkanlah kualiti diri anda yang lain daripada orang lain. Jika anda berbangga sangat dengan keputusan 10 A+ anda dihadapan penemuduga, ketahuilah terdapat puluhan calon lain yang turut berbangga dengan 10 A+ tersebut. Sedangkan di alam universiti dalam dan luar negara, apatah lagi di alam kerjaya kelak, 10 A+ itu tidak membawa apa-apa pengertian langsung.

Tunjukkanlah budi pekerti yang tinggi, bahawa anak-anak moden juga masih mengekalkan budaya ketimuran yang menjunjung syariat, menyanjung adat, dan menghormati orang tua. Buktikan bahawa generasi Y kita ini adalah generasi yang berfikir, meletakkan fungsi akal dan hati di tempatnya. Serlahkanlah bahawa kita generasi moden adalah generasi yang celik agama, bukan taqlid buta semata-mata.

InshaAllah, itulah pakej lengkap seorang graduan SPM yang menjadi permata di celahan kaca, menanti masa untuk dicanai dan digilapkan!

من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين

“Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan pada dirinya, maka diberikan kefahaman yang mendalam dalam agama”.

(Muttafaqun ‘Alaih)

Akhir kata, sebagai membantu para lepasan calon SPM dalam mencari peluang biasiswa, saya sertakan disini sebuah maklumat yang saya perolehi dari beberapa tempat lain (Facebook, blog dsb).

Saya mendoakan kejayaan anda semua di masa hadapan, dalam apa jua bidang yang anda ceburi!

seriously i'm speechless while read this , ya Allah help me please!

2 comments:

  1. aku pun sepeechless! tapi, thnks sak!

    ReplyDelete
  2. miraa . confuse giler >,< . really really i need Allah's guide. kita sama sama istikharah ea ? :))

    ReplyDelete

Followers